Translate

Saturday 12 December 2015

Rumah panjang Rh Lidwina di Tutus terbakar


113 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran
SIBU: Api pelita menyambar minyak petrol ketika salah seorang penghuni mengisi minyak jana kuasa dipercayai menjadi punca kebakaran di rumah panjang Rumah Lidwina, Nanga Tutus, Batang Igan dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 5.10 petang, penghuni rumah panjang terbabit dikejut dengan laungan beberapa orang di ruai rumah panjang tersebut memberitahu sebuah bilik sedang terbakar.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Dari Sungai Merah dari 7.37 malam mengerah sebuah jentera dan pasukan RRV dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke tempat kejadian.
Pasukan sokongan bersama sebuah jentara dan empat tenaga dari BBP Sibu turut dimaklum dan dikerah ke lokasi kejadian.
Ketika pasukan pemadam api tiba di lokasi kejadian pada jam 8.38 malam, api menjilat 14 pintu di rumah panjang berkenaan dan juga memusnahkan enam rumah berhampiran.
Difahamkan kira-kira 113 penduduk hilang tempat tinggal selepas pihak bomba menamatkan operasi memadam api sekitar jam 11.15 malam.
Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
Lokasi kebakaran agak jauh kira-kira 60 kilometer dari balai bomba terdekat dan perjalanan sukar turut menjejas operasi bomba untuk menjalankan kerja menyelamat.
Siasatan awal berdasarkan maklumat diperolehi di tempat kebakaran mendapati kebakaran bermula daripada salah sebuah bilik rumah panjang.
“Difahamkan kebakaran disebabkan api pelita menyambar minyak petrol ketika salah seorang penghuni sedang mengisi minyak jana kuasa,” kata sumber bomba.
Setelah api semakin mengganas dan di luar kawalan, ia dipercayai merebak dengan pantas sehingga meranapkan rumah panjang dan harta benda.
Operasi memadamkan api tersebut diketuai oleh PBKII Eddy Kilat dan Ketua Balai Sg Merah, PKPgB Zakaria Aini.
Punca sebenar dan nilai kerugian kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

No comments :

Post a Comment